Berita

Susun semula Jemaah Menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri –  Ahmad Zahid

Tindakan penyusunan barisan Jemaah Menteri tidak pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet kerana ia adalah hak mutlak Perdana Menteri.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.

“Tidak pernah ada perbincangan dalam Kabinet untuk menyusun semula Kabinet… tidak pernah.

“Itu hak mutlak Perdana Menteri yang mempunyai kuasa sepenuhnya untuk merombak Kabinet dan melantik sesiapa yang sepatutnya berada sebagai ahli Jemaah Menteri atau timbalan menteri,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid menegaskan, mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dijadualkan hanya memfokus kepada isu tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah.

“la khusus kepada soal tuntutan 40 peratus yang dipinta oleh sahabat sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya.

Spekulasi rombakan Kabinet diperkatakan susulan kekosongan beberapa portfolio selepas peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Mentri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad

Malah, 8 Nov lepas, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengesahkan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Selain itu, beberapa Menteri pula akan tamat penggal sebagai Senator awal bulan depan. Antaranya adalah Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

Malah, tempoh tiga lagi menteri yang juga Senator iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk, Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar juga akan berakhir pada tarikh sama. – MalaysiaMADANI