Berita, Siaran Media

Selangor salur RM500 kepada setiap keluarga terjejas banjir

Bantuan sebanyak RM500 akan disalurkan kerajaan Selangor kepada setiap keluarga mangsa banjir di  seluruh negeri itu yang ditempatkan pusat pemindahan sementara (PPS), kata Menteri Besarnya.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan awal itu akan disalurkan kepada 750 keluarga yang berdaftar di PPS di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

“Saya telah meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Dewan Sungai Kandis, yang menempatkan lebih 250 orang mangsa penduduk yang terjejas daripada Kampung Sungai Kandis dan Telok Menegon,” katanya.

Katanya kerajaan negeri sentiasa komited memastikan setiap pusat pemindahan sentiasa terjaga dari segi kebersihan, makanan dan keperluan harian mangsa agar sentiasa berada dalam keadaan sejahtera dan berharap rakyat Selangor sentiasa dilindungi dan dipermudahkan urusan dalam menghadapi situasi ini.

Pada masa sama katanya Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang terkesan dan kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir bagi memastikan peperiksaan mereka dapat diteruskan tanpa gangguan

Beliau pada masa sama turut mengarahkan supaya projek tebatan banjir di kawasan tumpuan dipercepatkan, dengan pemantauan terperinci akan dilakukan Exco Kemajuan Infrastruktur, Datuk Izham Hashim. 

Sehingga hari ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di seluruh Selangor yang menempatkan 2,972 orang mangsa banjir yang terdiri dari 792 keluarga. 

Beliau pada masa masa memberi jaminan akan terus memantau keadaan terkini berkenaan situasi banjir di seluruh negeri. – MalaysiaMADANI