Berita

Rangka keputusan strategik lonjak GII negara

Malaysia berusaha melonjakkan kedudukan dalam Indeks Inovasi Global (GII) iaitu penanda aras penting bagi menilai tahap inovasi dan daya saing negara di peringkat dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GII akan menjadi panduan kepada kerajaan, industri dan pembuat dasar dalam merangka keputusan strategik.

Beliau berkata, perkara itu penting untuk memastikan Malaysia muncul sebagai negara berteknologi tinggi yang berteraskan nilai MADANI menjelang 2030.

“Mesyuarat ini antaranya bersetuju melaksanakan langkah strategik bagi menempatkan Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik dunia dalam GII.

“Langkah strategik ini akan dilaksanakan melalui tadbir urus dan pemantauan rentas agensi yang lebih berkesan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Beliau berkata demikian setelah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara pada Rabu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga meneliti penambahbaikan dalam pembiayaan dana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) agar penyampaian lebih cekap dan berimpak tinggi. 

Malah tambah beliau, kerjasama awam dan swasta dikenal pasti sebagai pemangkin utama, selaras dengan Dasar STI Negara 2021-2030 yang berhasrat mengubah Malaysia menjadi negara pembangun teknologi.

“Saya tekankan keperluan menyelaras agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berorientasikan misi agar tidak bergerak secara bersendirian.

“Ini supaya setiap inovasi benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan membentuk masa depan negara yang lebih unggul,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI