Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan terperinci berhubung isu Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah di Parlimen esok, 13 November.
Tegas beliau, Jemaah Menteri telah mengadakan mesyuarat khas bagi mempertimbangkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap perkara berkenaan.
“Saya merenung semalam dan Jemaah Menteri ada mesyuarat khas, pertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, runding, mendengar pandangan dan usul dari setiap ahli Jemaah Menteri, paling deras (bersuara), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Kita memutuskan secara konsensus, soal 40 peratus itu dan pertimbangan mengenai keputusan kita iaitu kita tidak rayu, tetapi keputusan penghakiman itu kita rayu, saya akan perjelaskan di Parlimen esok lebih terperinci,” katanya.
Semalam Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah sebaliknya akan memulakan rundingan bersama kerajaan negeri Sabah dengan segera.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan keputusan berkenaan diperoleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap kerajaan Malaysia.
AGC menjelaskan, dalam mesyuarat sama, Peguam Negara telah memberi nasihat berhubung beberapa kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut.
Antara yang dibangkitkan ialah dakwaan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan.
“Dakwaan ini bakal membabitkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sejak tahun 1974.
“Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.
“Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan khusus bagi menangani kecacatan dalam alasan penghakiman tersebut,” katanya. – MalaysiaMADANI
