Berita

Malaysia unjur capai SDG 49 peratus menjelang 2030

Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan dengan unjuran pencapaian 49 peratus bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangkaan pencapaian baik itu diumumkan menerusi Mesyuarat Majlis SDG Negara Tahun 2025 yang diadakan pada pagi ini.

Beliau berkata, unjuran tersebut adalah jauh mengatasi purata global sekitar 18 peratus.

“Namun di sebalik angka positif ini, masih banyak yang harus kita tangani khususnya terkait 10 Fokus Utama SDG negara.

“Ia membabitkan isu pemakanan kanak-kanak, kesihatan mental, pengurusan murid berkeperluan khas hinggalah peluang pekerjaan buat golongan kurang upaya,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Perdana Menteri menegaskan, ia menuntut kerjasama semua pihak merentasi kerajaan persekutuan, negeri, swasta dan masyarakat sivil.

Menurut beliau, kerjasama erat tersebut penting agar tiada insan yang tersisih daripada arus pembangunan negara.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI kekal komited terhadap agenda SDG yang bergerak seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Ini bagi memastikan negara menuju kemajuan yang terangkum, mampan dan sejahtera, demi masa depan anak-anak kita dan bumi yang kita cintai,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI