Berita

Kompleks Maritim Semporna bakal jadi benteng kawalan hadapan di ESS Zone


Kerajaan terus memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara apabila sebanyak RM65.2 juta dilaburkan bagi pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna,  sebuah fasiliti strategik yang bakal menjadi benteng hadapan kawalan maritim di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apabila siap sepenuhnya, kompleks ini akan berfungsi sebagai pusat operasi dan rondaan utama Zon Maritim Semporna, selain menjadi hab koordinasi keselamatan dan latihan bersama ESSCOM, PDRM, dan TLDM.

“Kompleks ini akan membolehkan pasukan Maritim Malaysia bertindak lebih pantas dan efisien terhadap sebarang insiden keselamatan maritim, di samping meningkatkan moral anggota di lapangan.

“Kompleks ini dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk bangunan pentadbiran utama dan logistik, jeti operasi dan marina untuk kapal serta bot Maritim Malaysia,  Helipad bagi operasi udara, padang kawad dan gelanggang sukan dan juga kuarters perumahan anggota.,” katanya ketika hadir menyempurnakan  Majlis Penyerahan Separa Projek Siap Kompleks tersebut.

Turut hadir Ketua Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh benteng pertahanan maritim negara dan membuktikan Sabah tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya terus menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha memperkukuh keselamatan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Selain memastikan perairan Sabah khususnya di Pantai Timur kekal aman, selamat dan berdaulat daripada ancaman penyeludupan, kemasukan PATI dan jenayah rentas sempadan.

Malah, pembinaan kompleks berkenaan turut membuktikan Sabah tidak pernah dipinggirkan, sebaliknya terus menjadi keutamaan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkukuh keselamatan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah aspirasi Malaysia MADANI

Projek pembinaan kompleks itu dimulakan pada 30 Jan 2020 dan komponen bangunan daratan berjaya disiapkan lebih awal pada 29 September lepas, manakala pembinaan jambatan sepanjang 165 meter dan jeti head sepanjang 100 meter sedang giat disiapkan mengikut jadual ditetapkan pada Julai 2026.

Terletak di Batu 1, Jalan Bubul, Tampi-Tampi, Semporna, kompleks berkenaan dibina di lokasi strategik berhampiran perairan Filipina dan Indonesia, sekaligus memperkukuh kehadiran Maritim Malaysia di kawasan perairan timur Sabah yang berisiko tinggi.

Projek strategik ini merupakan hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana. – MalaysiaMADANI