Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dilihat penting bagi setiap pembangunan awam seperti hospital yang dijalankan dapat disiapkan mengikut jadual, diselenggara dengan baik dan dimanfaat rakyat.
Katanya kerajaan Madani memberi penekanan besar kepada pendidikan dan kesihatan iaitu dua tonggak penting dalam mengangkat martabat rakyat dan memajukan negara.
“Kedua-dua sektor ini akan terus diberi perhatian dan ditambah baik, baik dari segi perkhidmatan mahupun kemudahan, demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau, yang menjadi mercu tanda baharu sistem kesihatan di Negeri Sabah.
Katanya, pelaksanaan projek naik taraf tersebut bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah, serta memperkukuh keupayaan Hospital Tawau dalam menangani peningkatan jumlah pesakit dari semasa ke semasa.
Malah pembangunan infrastruktur itu juga melambangkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat Sabah menikmati perkhidmatan kesihatan yang moden, selamat dan berkualiti tinggi. – MalaysiaMADANI
