Berita

Kekal komited berkhidmat, sokong matlamat UNESCO

Malaysia menegaskan akan meneruskan komitmen secara berterusan untuk menyokong agenda dan matlamat UNESCO.

Malah dengan tekad tinggi,  Malaysia juga menyatakan kesediaan dan kesungguhan untuk berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO sekiranya terpilih. 

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim ketika menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia semasa Sesi ke-43 Persidangan Agung UNESCO yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan.

“Malaysia turut berkongsi beberapa kejayaan dan pengiktirafan antarabangsa yang telah diterima negara di bawah naungan UNESCO.

“Kejayaan itu merangkumi bidang pendidikan, sains semula jadi dan kebudayaan,” kata beliau menerusi laman media sosial KPM.

Sebagai lambang identiti dan kebanggaan nasional, Aminuddin telah mengenakan busana pakaian kebangsaan ketika menyampaikan kenyataan negara pada majlis tersebut.

Penampilan penuh tradisi itu sekali gus berjaya mempromosikan budaya dan warisan Malaysia di pentas antarabangsa.

Persidangan tersebut telah dihadiri oleh 194 buah negara anggota UNESCO. -MalaysiaMADANI