Berita

Janji bangunkan Sabah secara adil, bukan retorik pilihan raya

Bukan retorik dan janji manis pilihan raya, sebaliknya pembangunan adil perlu dilaksanakan sebaiknya di Negeri Bawah Bayu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat Sabah berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama.

Di bawah Kerajaan MADANI, beliau berkata, komitmen itu bukan lagi retorik sebaliknya sedang diterjemah melalui pelaksanaan yang nyata.

“Saya ulangi dengan tegas bahawa hak Sabah dalam MA63 mesti dihormati, ditunaikan dan diperkasakan, bukan dijadikan slogan setiap kali musim politik tiba,” kata beliau menerusi laman media sosialnya. 

Kata beliau, banyak perkara asas yang sekian lama tertangguh kini telah dipacu dan dilaksanakan dengan lebih pantas.

Jelas beliau, ia melibatkan penambah baik bekalan elektrik, pembinaan rangkaian jalan raya hinggalah penyelesaian masalah air yang membebankan rakyat saban tahun.

“Saya tidak datang membawa janji kosong. Kerajaan MADANI sedang mengukuhkan tatakelola, menutup ruang ketirisan dan memastikan setiap sen yang diperuntukkan benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” ujar beliau. 

Tambah beliau, sinergi yang kuat, jujur dan saling menghormati antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu dikekalkan, demi memastikan hasil pembangunan benar-benar kembali kepada rakyat terbanyak di Sabah.

“Saya menyeru rakyat Sabah untuk bangkit bersama, menolak politik yang memecah-belahkan dan memberi ruang kepada calon Pakatan Harapan untuk bersama menabur bakti, memperjuang hak rakyat dan membawa Sabah ke tahap yang lebih maju, inklusif dan bermaruah,” kata beliau. -MalaysiaMADANI