11 November 2025 menjadi detik bersejarah bagi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) apabila berjaya melaksanakan prosedur Deep Brain Stimulation (DBS) yang pertama kali bagi tujuan merawat pesakit parkinson.
Memetik Facebook Hospital Raja Permaisuri Bainun sebagai berkata, pencapaian luar biasa meletakkan Perk sebaris dengan pusat erubatan utama yang melaksanakan DBS sebelum ini seperti Pusat Perubatan Universiti Malaysia, Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Pulau Pinang.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha, prosedur pembedahan stereotaktik yang berisiko tinggi itu dikendalikan oleh pasukan multidisiplin terdiri daripada pakar neurosurgeri, neurologi, anestesiologi, radiologi serta pakar sokongan lain.
“Kejayaan berkenaan membuktikan kemampuan HRPB menyediakan rawatan berteknologi tinggi dan bertaraf pusat rujukan nasional.
“Prosedur ini memberi sinar baharu kepada pesakit Parkinson yang mengalami kekakuan otot, pergerakan perlahan dan gegaran ketara.
“Rawatan DBS melibatkan pemasangan elektrod khas di bahagian otak tertentu bersaiz kecil, kira-kira 4 milimeter, bagi menghasilkan rangsangan elektrik terkawal,” katanya.
Pencapaian yang dicapai menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan akses rawatan lanjutan untuk pesakit Parkinson di wilayah utara Semenanjung selari dengan komitmen KKM untuk meningkatkan perkhidmatan khusus di hospital-hospital negeri.
Malah, kejayaan bersejaran tersebut bukan sahaja lambang tahap kecekapan dan kemajuan perkhidmatan neurosurgeri di HRPB tetapi juga pemangkin kepada usaha memperluaskan perkhidmatan bertaraf tinggi.
Sementara itu, bagi Pakar Neurologi HRPB, Dr Chin Mann Leon pula menjelaskan DBS merupakan antara rawatan paling efektif untuk pesakit Parkinson di peringkat lanjut, apabila ubat-ubatan tidak lagi memberikan kesan yang mencukupi. – MalaysiaMADANI
