Langkah menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun akan dinilai dari pelbagai perspektif bagi memastikan kesan yang diterima adalah postif kepada semua pihak, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Katanya setiap sahaja yang dicadangkan sudah pasti ada pro dan kontra namun pengakhirannya mestilah membawa manfaat terhadap penerima serta negara sendiri.
Bagaimanapun tegas beliau perkara ini masih diperingkat cadangan dan usaha mengumpul maklum balas dan usaha berkenaan masih diteruskan.
Mengulas lanjut Wan Ahmad Dahlan berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengadakan sesi libat urus dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara untuk mendapatkan maklum balas.
“Perkara ini masih di peringkat permulaan dan dalam tindakan pihak JPA cuma sesi libat urus sudah kita adakan dengan beberapa pihak berkaitan seperti CUEPACS, persatuan pesara untuk mendapat pandangan awal, jadi kita tunggu lah apabila ia selesai nanti,”
“Biasanya hasil maklum balas yang diterima ada baik dan buruknya. Ada yang bersetuju dan tidak.
“Cuma peringkat awal, kita akan lihat daripada pelbagai perspektif dan sudut untuk pastikan apa jua keputusan memberi implikasi yang baik kepada penjawat awam dan negara,” katanya.Bagaimanapun tegas beliau pihaknya masih dalam peringkat kajian dan penelitian rapi demi kepentingan semua pihak dan berharap semua pihak bersabar menunggu keputusan.
Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam di Malaysia ditetapkan pada 60 tahun, yang juga umur persaraan minimum bagi sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.
Azalina berkata, menjadi satu kerugian sekiranya individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun, sedangkan mereka masih sihat, bertenaga dan mampu menyumbang secara produktif kepada tenaga kerja negara. – MalaysiaMADANI
