Berita

Audit pemantauan ABMS cermin komitmen tinggi MOT cegah rasuah

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) selesai menjalani audit pemantauan bagi Pensijilan MS ISO 37001:2016 membabitkan Anti-Bribery Management System (ABMS).

Audit pemantauan tersebut telah berlangsung dari 19 hingga 21 November 2025 oleh NIOSH Certification Sdn. Bhd. 

MOT berkata, audit itu merupakan keperluan penting bagi memastikan Sistem Pengurusan Antirasuah di pihak kementerian sentiasa berfungsi secara efektif dan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“MOT berjaya mengekalkan Pensijilan MS ISO 37001:2016 ABMS bagi tahun 2025 hingga 2026,” kata MOT menerusi laman media sosial rasminya. 

Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan MOT dalam memperkukuh integriti, mencegah rasuah serta mempertingkatkan tatakelola yang baik dalam penyampaian perkhidmatan.

Menurutnya, Unit Integriti sebagai urusetia pensijilan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khususnya juruaudit dari NIOSH Certification Sdn. Bhd. 

“Ucapan terima kasih juga kepada pegawai dan kakitangan Bahagian Pembangunan, Bahagian Perolehan dan Kewangan, serta Bahagian Pengurusan Sumber Manusia atas kerjasama dan dedikasi dalam menjayakan audit ini,” ujarnya. -MalaysiaMADANI