Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijadual tiba di Malaysia Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan di ibu negara.
Memetik laporan Bernama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata, pengesahan kehadiran Presiden Amerika Syarikat itu telah dimaklumkan sewaktu Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas.
“Sah Donald Trump akan tiba di Malaysia pada 26 Oktober dan sekiranya ada sebarang perubahan akan dimaklumkan oleh pihak Kementerian Luar,” katanya pada sidang media pada hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa dan Pusat Penyiaran Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur .
Turut hadir, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj; Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita), Mohd Shukri Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Azlina Aziz.
Fahmi bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perincian lawatan sulung Presiden Amerika Syarikat itu ke Kuala Lumpur sejak kembali menduduki Rumah Putih buat kali kedua pada November lepas.
Trump pada Isnin dilaporkan buat kali pertama berkata secara terbuka mengenai rancangan lawatan beliau ke Malaysia dalam masa terdekat, namun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenainya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung pada 26 hingga 28 Okt, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. – MalaysiaMADANI