Perdana Menteri mengecam keras tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di media sosial miliknya menjelaskan, kapal yang sarat dengan orang awam tidak bersenjata serta bekalan penting itu telah berdepan intimidasi dan paksaan oleh pihak Israel.
“Tindakan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap angkuh dan tidak menghormati bukan sahaja hak rakyat Palestin, dan kemanusiaan sejagat.
“Misi Flotilla ini melambangkan solidariti, belas kasih dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terperangkap di bawah sekatan,” katanya
Malaysia kata Anwar akan menggunakan segala saluran sah dan berperlembagaan yang ada bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, terutamanya dalam hal yang membabitkan rakyat Malaysia.
Malah, keselamatan dan maruah rakyat adalah keutamaan, dan ia tidak akan dibiarkan tergadai tanpa tindakan.
“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan cita-cita mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama mereka.
“Kita tidak akan berundur dalam menuntut pengakhiran kepada ketidakadilan serta perampasan yang telah membelenggu Palestin sejak sekian lama,” katanya lagi.
Kira-kira 2.03 pagi waktu Malaysia, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan kapal GSF telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Sehingga kini 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal berkenaan.
Terbaru adalah Farah Lee dan Danish Nazram dari kapal Grande Blu. Mesej SOS kecemasan bagi semua 12 sukarelawan berkenaan disiarkan di media sosial Sumud Nusantara, menandakan mereka dalam tahanan Israel.
Terdahulu, rakyat Malaysia ditahan adalah Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.
Selain itu, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi daripada kapal Hio, Iylia Balqis, Ahmad Musa Al-Nuwayri dan dan Sul Aidil dari kapal Alma.Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi Sumud Nusantara Official pagi ini. – MalaysiaMADANI