Berita

Subsidi bersasar bukti keberkesanan dasar, ketelusan pentadbiran MADANI

Kerajaan menegaskan pelaksanaan subsidi bersasar bertujuan memastikan bantuan disediakan benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia memerlukan, bukan kepada syarikat besar atau warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seperti dibentangkan dalam Belanjawan MADANI 2026, Perdana Menteri menekankan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar adalah supaya bantuan kerajaan betul-betul sampai kepada rakyat yang memerlukannya. 

“Inisiatif subsidi bersasar seperti BUDI95 dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja membantu meringankan beban sara hidup, namun paling penting ia sampai terus dan selayaknya untuk rakyat Malaysia,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Sementara itu beliau berkata, hasil tatakelola yang baik serta komitmen tinggi penjawat awam terutamanya pasukan penguatkuasaan beruniform telah menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM15 bilion.

Tambah beliau, langkah berani kerajaan menarik balik subsidi ayam dan telur tanpa menyebabkan kenaikan harga serta penyusunan semula tarif elektrik bagi pengguna tinggi dan syarikat besar telah membuktikan keupayaan kerajaan mengurus sumber dengan bijaksana dan berintegriti.

Jelas beliau, pendekatan itu menjadi asas kepada pengagihan semula manfaat kepada rakyat melalui subsidi bersasar, selari dengan prinsip Madani iaitu ihsan, kesejahteraan dan kemakmuran untuk semua. -MalaysiaMADANI