Berita, Siaran Media

Sistem P3S diperkenalkan kurangkan birokrasi penempatan, mudahkan pertukaran jururrawat

Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula hari ini bagi mengurangkan birokrasi penempatan serta mempercepatkan proses pertukaran penempatan.

KKM dalam kenyataan memaklumkan fasa pertama pelaksanaan P3S  melibatkan skim jururawat di bawah Bahagian Kejururawatan.

“P3S kini menjadi platform rasmi untuk mempercepat padanan, memperkemas aliran kerja serta menjadikan proses lebih telus dan adil tanpa mengubah peraturan kelulusan sedia ada.

“Pelaksanaan sistem ini membolehkan proses pertukaran menjadi lebih mudah, cepat dan telus.

“Pentadbiran di peringkat Pejabat Tanggungjawab (PTJ) hanya perlu mengesahkan kelayakan pegawai dan surat penempatan baharu akan dijana secara automatik selepas padanan berjaya dibuat,” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi https://p3s.moh.gov.my dengan syarat kelayakan dan tatacara permohonan boleh dirujuk dalam garis panduan di portal tersebut


“Pegawai terlibat perlu melapor diri serentak di lokasi penempatan baharu pada tarikh kuat kuasa rasmi.

“Pegawai terlibat perlu melapor diri serentak di lokasi penempatan baharu pada tarikh kuat kuasa rasmi, selepas pentadbiran di peringkat Pejabat Tanggungjawab (PTJ) mengesahkan kelayakan pegawai dan surat penempatan baharu akan dijana secara automatik selepas padanan berjaya dibuat,” katanya.

Selepas skim jururawat, sistem ini akan diperluas secara berfasa mulai tahun depan kepada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi dan Penolong Pegawai Farmasi.


Sebelum ini, proses pertukaran pegawai KKM sebelum ini dilaksanakan secara manual. 

Namun disebabkan jumlah permohonan yang tinggi, proses sering mengambil masa panjang dan mendorong penggunaan saluran tidak rasmi.

KKM pada masa sama menegaskan pelaksanaan P3S mencerminkan komitmen kementerian dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan warga kerja kesihatan, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan pentadbiran.

Tindakan ini  katanya  sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang berteraskan kemampanan, kesejahteraan dan daya cipta, terutamanya dalam memperkukuh sistem kesihatan negara. – MalaysiaMADANI