Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47: Malaysia sedia tempa sejarah baharu


Malaysia kini berada di fasa akhir persiapan bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi tadi telah memberi tumpuan kepada penyelarasan terakhir persediaan negara menjelang sidang kemuncak berprestij itu.

Alhamdulillah, segala persiapan berjalan lancar dan kini berada di fasa akhir pelaksanaannya. Insya-Allah, Malaysia telah bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran para pemimpin ASEAN dan rakan dialog antarabangsa dalam sidang kemuncak bersejarah ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penganjuran sidang kemuncak kali ini bukan sahaja penting bagi memperkukuh kerjasama serantau, tetapi juga sebagai platform untuk menonjolkan kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Sama-sama kita doakan agar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini berlangsung dengan jayanya, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia — disegani kerana wibawa, dihormati kerana kepimpinan,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bakal menghimpunkan para pemimpin negara-negara ASEAN serta rakan dialog utama bagi membincangkan hala tuju kerjasama ekonomi, politik, dan sosial rantau ini menuju masa depan yang lebih makmur dan mampan.

Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarah penganjuran kumpulan serantau itu, dengan kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri, China Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.

Acara ini juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak 1967, selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.  – MalaysiaMADANI