Berita, Siaran Media

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: Mahasiswa UA dan IPTS diberi pilihan laksana PdP



Semua universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) diberi pilihan untuk menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke–47 yang bermula Ahad ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, pilihan berkenaan dibuat bagi memastikan proses PdP di UA dan IPT berjalan lancar selain membolehkan mereka merancang pergerakan masing-masing.

“KPT mengambil maklum pelaksanaan penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran membabitkan kawasan di sekitar Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya).

“UA dan IPTS diminta membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan ditutup sepanjang tempoh berkenaan menentukan keperluan bagi PdP secara dalam talian bagi memastikan warga tidak terkesan dengan penutupan jalan terbabit.

“Pelajar serta warga UA dan IPTS yang terkesan turut boleh berhubung dengan pusat pengajian masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Persidangan kemuncak ASEAN dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini dengan kehadiran kuasa besar yang berpengaruh.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula hujung minggu ini dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini dengan kehadiran kuasa besar yang berpengaruh.

Persidangan kali ini juga dijangka menjadi penganjuran terbesar sejak edisi pertamanya pada 1976.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump antara yang dijangka hadir bersama beberapa ketua kerajaan negara ASEAN dan rakan dialog. – MalaysiaMADANI