Berita

Sidang Kemuncak ASEAN kali ini satu yang bersejarah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa dengan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Ketua-Ketua Pengarang media tempatan dan antarabangsa menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula hujung minggu ini.

Beliau berkata, pertemuan itu bertujuan berkongsi pandangan awal mengenai fokus dan harapan terhadap penganjuran kali ini yang bukan sahaja penting kepada Malaysia, tetapi turut membawa manfaat besar kepada seluruh rantau ASEAN.

Menurut beliau, sidang kali ini mencatat sejarah baharu bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti serta kesejahteraan bersama.

“Sebagai Pengerusi, Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan Kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas, memperjuangkan keamanan serantau serta membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas global termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan.

“Sidang kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, lambang keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan, menjadi satu perkara penting usaha Malaysia memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai serta perpaduan ASEAN.

Kata beliau, Malaysia juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya.

“Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat,” ujar beliau- MalaysiaMADANI