Berita

Sekolah pondok perkukuh pembelajaran, sahsiah pelajar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Kenduri Rakyat Bersama Warga Sekolah Pondok di Ipoh, Perak sambil berpeluang menyantuni para pelajar, pendidik dan masyarakat setempat pada Sabtu.

Beliau melahirkan rasa kagum melihat kemudahan dan infrastruktur di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, bukan sahaja selesa tetapi juga mampu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh pembelajaran serta pembentukan sahsiah pelajar.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pondok di Malaysia, pesantren di Indonesia, zawiyah dan ma‘had di negara lain, semuanya mempunyai sejarah panjang serta berperanan besar dalam membina tamadun bangsa.

“Di institusi seperti inilah lahirnya insan berilmu, berakhlak dan berjiwa merdeka. Di sinilah juga tertanam semangat menentang penjajahan, mempertahankan maruah serta memperkukuh jati diri umat,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tegas beliau, anak muda hari ini perlu memahami bahawa kekuatan sesuatu bangsa tidak hanya terletak pada kekayaan atau kuasa, tetapi pada ilmu, iman serta nilai perjuangan yang diwariskan oleh institusi seperti pondok dan pesantren.

Jelas beliau, warisan ilmu dan semangat seumpama ini perlu terus diperjuangkan agar akar budaya, akidah serta jati diri bangsa kekal teguh dalam menghadapi cabaran dunia moden. -MalaysiaMADANI