Berita, Siaran Media

Kehadiran Donald Trump platform suarakan isu Palestin

Lawatan Presiden Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke negara ini tidak bermaksud Malaysia berkompromi atau melupakan perjuangan rakyat Palestin, tegas Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya lawatan Trump sebaliknya membuka peluang penting untuk Malaysia menggunakan platform ASEAN bagi menyampaikan mesej secara bersemuka dan tanpa berselindung kepada Trump.

“Sejak dahulu sehingga kini, saya kekal konsisten dan teguh berdiri bersama Palestin, menentang sebarang bentuk penindasan, kezaliman dan pendudukan haram oleh rejim Zionis,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan kunjungan Trump sebagai platform diplomasi untuk terus menyuarakan isu Palestin dengan tegas dalam mempertahankan kebenaran namun dengan pendekatan berstrategi.

Selain Trump, beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Reezal menjelaskan lawatan pemimpin utama AS itu ke ibu negara bukanlah atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya kerana tanggungjawab rasmi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Katanya, Malaysia akan terus menegaskan bahawa pendirian kita jelas dan menolak sebarang bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin dan menyokong penuh hak mereka untuk merdeka dan berdaulat.

“Malaysia percaya, pendirian yang tegas dan konsisten di pentas antarabangsa adalah bukti bahawa isu Palestin tidak pernah luput daripada keutamaan kita. 

Selagi kezaliman berlaku, selagi itu Malaysia akan bersuara lantang di hadapan mana-mana kuasa besar sekalipun,” katanya. – MalaysiaMADANI