Kepimpinan yang berintegriti mampu membentuk budaya kerja, mempengaruhi dasar kerajaan serta dapat dimanfaat rakyat secara adil dan telus.
Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjadi panel dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri ke-8 yang bertajuk “Integriti dan Kepimpinan Nasional – Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik.”
Katanya integriti bukan sekadar soal imej atau slogan tapi menentukan kejayaan kerajaan dalam memberi manfaat kepada rakyat secara adil dan terus.
“Saya mulakan bicara dengan satu perkara asas iaitu bila pemimpin itu berintegriti, manfaatnya akan dirasai terus oleh rakyat.
“Integriti bukan sekadar soal imej atau slogan, tapi ia membentuk budaya kerja, menentukan cara keputusan dibuat, dan akhirnya mempengaruhi sejauh mana dasar kerajaan boleh sampai kepada rakyat dengan adil dan telus,” katanya.
Dalam forum berkenaan, beliau turut mengaitkan budaya di KDN dan agensi-agensi di bawahnya seperti PDRM, JIM, APMM yang memainkan peranan yang sangat kritikal.
“Kalau integriti hilang, bukan sahaja reputasi tercalar, malah keyakinan rakyat boleh runtuh. Sebab itu saya selalu tekankan, integriti mesti jadi teras, bukan pilihan,” ujarnya.
Beliau pada masa sama berharap forum berkenaan akan terus menjadi medan memperkukuh kefahaman, membina kesedaran, dan menyalakan iltizam bersama dalam menjunjung nilai integriti di semua peringkat kepimpinan. – MalaysiaMADANI