Di tengah hiruk-pikuk kota yang terus membangun, Taman Tasik Titiwangsa kembali menjadi nadi yang mendamaikan buat orang ramai di Kuala Lumpur.
Saat ini, taman tasik itu menjadi lebih daripada sekadar taman. Ia menjadi pentas diplomasi hijau ASEAN, yang mana tempat seni, landskap dan sains bersatu dalam satu bahasa sejagat: ‘keharmonian antara manusia dan alam’.
Kuala Lumpur Park Festival 2025 (KLPF 2025) mengangkat tema ‘Kesatuan ASEAN Dalam Kepelbagaian’ menjadikan taman bukan lagi simbol rehat, tetapi ruang dialog serantau tentang masa depan bandar tropika yang lestari.
“Dari paviliun biodiversiti pertama Malaysia, hingga instalasi Mistikal Titiwangsa yang menghidupkan legenda Nusantara dengan teknologi moden.
“Setiap inci landskapnya membawa mesej diplomasi lembut tentang keindahan, inovasi dan keseimbangan,” kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi laman media sosialnya.
Lebih daripada sekadar festival, KLPF 2025 adalah manifestasi Kuala Lumpur sebagai ibu kota hijau ASEAN.
Diplomasi tidak hanya berlangsung di meja rundingan, tetapi juga di bawah teduhan pohon, di tepi tasik dan bunga-bunga yang mekar sebagai lambang persahabatan serantau.
Majlis Peluncuran Penjenamaan Semula Local Agenda 21 Kuala Lumpur kepada Local Action 21 Kuala Lumpur 2040 itu telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif. -MalaysiaMADANI