Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat kira-kira 4 petang ini, bukan sekadar angka dan perbelanjaan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan sebaliknya menegaskan Belanjawan 2026 adalah hala tuju bagi memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
“Insya-Allah pada petang ini, saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan, tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
“Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama,” katanya.
Sebelum ini, ketika memberi taklimat bersama media di Putrajaya, beliau menyifatkan Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan, tetapi cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. – MalaysiaMADANI