Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla ke Gaza disahkan dalam keadaan selamat meskipun menjadi tawanan pihak Israel pada masa kini, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC).
Datuk Sani Araby Abdul Alim dalam sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara berkata, berita baik itu diterima susulan pelantikan peguam melalui Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) .
“Kita boleh maklumkan pada petang ini kesemua delegasi Malaysia ditemui dalam keadaan selamat dan sihat oleh pihak peguam yang menjadi wakil rasmi di sana dan berjaya mengadakan pertemuan dengan mereka.
“Setakat ini kita tidak menerima sebarang tuntutan daripada pihak Israel untuk Malaysia. Untuk negara lain saya tidak ada maklumat.
“Namun kita mengikuti rapat keseluruhan 45 negara yang menyertai GSF melibat 495 delegasi,” katanya.
Tegas beliau usaha diplomatik oleh Perdana Menteri yang bertindak sebagai penaung rundingan antarabangsa sedang digerakkan pada tahap maksimum bagi membawa pulang delegasi Malaysia ditahan Israel.
Malah, Perdana Menteri telah menghubungi Presiden Turkiye, pemimpin Qatar dan Setiausaha Amerika Syarikat (AS) dan memainkan peranan sebagai perunding utama dalam memastikan pembebasan segera rakyat Malaysia.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan yang pantas dan serius. Kerajaan Turkiye bersetuju untuk melaksanakan sesi negosiasi dalam masa terdekat dan akan membawa pulang semua sukarelawan dalam masa terdekat.
“InsyaAllah dalam sehari dua lagi, delegasi Malaysia dan rakyat Turkiye akan dibawa terbang ke Istanbul sebelum seterusnya pulang ke Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaMADANI