Kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam hubungan seksual secara suka sama suka perlu dilindungi, dibimbing serta dipulihkan dan bukannya dihukum semata-mata, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kanak-kanak ini harus diberi peluang untuk belajar daripada kesilapan, memulihkan diri serta membina semula kehidupan tanpa dibebani stigma atau trauma jangka panjang.
“Proses pemulihan penting bagi memastikan perkembangan emosi, kognitif dan sosial kanak-kanak berkenaan.
“Ini dapat membantu kanak-kanak menilai sendiri kesan sesuatu tindakan yang diambil,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar kanak-kanak perempuan turut dikenakan tindakan undang-undang.
Hal demikian kata dibuat berdasarkan siasatan pihaknya hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di negeri itu adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Justeru, Nancy menjelaskan pihaknya memberi tumpuan dalam menyelesaikan isu selain menjamin pembangunan serta kesejahteraan masa depan mereka.
Tegas beliau perundangan dan program sedia ada yang memberi penekanan kepada intervensi, perlindungan dan proses pemulihan bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang adalah selaras dengan pendirian KPWKM ini.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan individu dewasa memikul tanggungjawab utama untuk membimbing dan melindungi kanak-kanak serta tidak boleh sama sekali dalam apa jua bentuk mengeksploitasi mereka.- MalaysiaMADANI