Berita

Sarapan Pagi MADANI, lahir pelajar sihat Kuala Lumpur

Sebanyak 13 buah sekolah rendah membabitkan lebih 10,000 orang murid dijangka mendapat manfaat daripada penganjuran Program Sarapan Pagi MADANI. 

Program tersebut telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Ia merupakan satu inisiatif penting bagi memastikan anak-anak Kuala Lumpur mendapat pemakanan sihat pada awal hari persekolahan masing-masing.

Tidak boleh dinafikan wujudnya isu beban berganda melibatkan masalah nutrisi dan masih terdapat murid yang berhadapan kekurangan zat penting.

Namun begitu pada masa yang sama, ada juga sebilangan pelajar yang didapati terlebih kalori tanpa nutrisi. 

Bagi kesan jangka panjang, permasalahan seumpama itu amat membimbangkan kerana berpotensi menyebabkan pelajar mengalami sistem imuniti lemah, prestasi pembelajaran merosot dan risiko penyakit kronik meningkat.

Atas dasar keprihatinan terhadap isu tersebut, Program Sarapan Pagi MADANI akan diperluas kepada 13 sekolah rendah melibatkan lebih 10,000 murid. 

Ia bukan sekadar bantuan makanan, tetapi pelaburan untuk melahirkan generasi yang sihat, cerdas dan berdaya saing, seiring dengan nilai ihsan dalam agenda MADANI. -MalaysiaMADANI