Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang cuba menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat menerusi inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perkara itu ditegaskan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berikutan hantaran media sosial media yang mendakwa segelintir peniaga menaikkan harga barangan.
“Sekiranya perkara ini berlaku, siasatan dan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dilaksanakan.
“Kerajaan MADANI akan menyiasat aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang susulan pelaksanaan Penghargaan SARA.
“Kerajaan juga menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai juga digalakkan untuk membuat aduan rasmi kepada KPDN untuk membolehkan siasatan segera dilaksanakan.
Aduan boleh dikemukakan melalui beberapa saluran KPDN seperti portal e-Aduan KPDN di https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat talian di 1-800-886-800.
Sementara itu, Kementerian Kewangan turut memaklumkan, pelaksanaan Penghargaan SARA pada hari kelapan berjalan lancar.
Malah, jumlah jualan berjaya merekodkan RM102.5 juta melibatkan 1.7 juta penerima.
Selain itu, kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9 peratus bagi dua hari berturut-turut. – MalaysiaMADANI