Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

Perkaya sumber sejarah kepada Arkib Negara



Rakyat diseru untuk menyumbang bahan- bahan berkaitan ASEAN atau sejarah negara kepada Arkib Negara bagi tujuan memperkayakan sumber sejarah tanah air.

Perkara itu dinyatakan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang ketika merasmikan Bicara Sejarah ASEAN anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara (ANM).

Langkah berkenaan tegas beliau penting kerana sejarah bukan sahaja menjadi rujukan akademik tetapi juga sumber ilmu untuk memahami keseluruhan perjalanan ASEAN membina asas kerjasama serantau sejak lima tahun dekad.

“Usaha ini mampu menjadi panduan kepada generasi akan datang dalam menghadapi cabaran  geopolitik, ekonomi dan sosial yang semakin kompleks,” kataya.

Naratif sejarah ASEAN yang dipelihara jelas beliau bakal memperlihatkan nilai perpaduan kerjasama dan saling menghormati yang telah lama menjadi teras hubungan antara negara di rantau ini.

Katanya lagi, penghayatan sejarah juga bukan sahaja memperkukuhkan jati diri kebangsaan malah memperteguh perasaaan kebersamaan serantau yang amat diperlukan dalam membina masa depan yang lebih stabil dan harmoni.

“Sejarah ASEAN adalah sejarah kita bersama. Ia bukan hanya milik pemimpin negara tetapi warisan untuk seluruh rakyat Asia Tenggara,” katanya.

Bicara Sejarah ASEAN adalah wadah ilmiah bertujuan membincangkan serta memfokuskan kepada sejarah dan warisan kolektif negara anggota ASEAN termasuk Malaysia.

Selain itu, sesi berkenaan turut menyumbang kepada usaha memperkukuhkan semangat cintakan sejarah, budaya dan patriotisme .

Di samping menyemai rasa kebersamaan, keprihatinan serantau serta tanggungjawab kolektif dalam kalangan rakyat Malaysia sebahagian daripada komuniti ASEAN. – MalaysiaMADANI