Berita

Malaysia salur bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan

Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan segera kepada Afghanistan selepas tragedi gempa bumi kuat melanda beberapa wilayah di negara itu pada 31 Ogos lalu, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan kemanusiaan berkenaan merangkumi bekalan makanan, perubatan serta keperluan asas serta penglibatan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Atas dasar keprihatinan dan semangat kemanusiaan, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan segera merangkumi bekalan makanan, perubatan, serta keperluan asas dengan penglibatan NGO tempatan.

“Insya-Allah, kita juga sedang mempertimbang pemberian bantuan kewangan khusus bagi meringankan penderitaan rakyat di sana,” katanya.

Perkara demikian dinyatakan ketika mempengerusikan Sesi perbincangan Meja Bulat anjuran Sekretariat Majlis TVET Negara bersama syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerjaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi sinar harapan kepada rakyat Afghanistan dan menjadi bukti semangat kemanusiaan tidak mengenal sempadan.


“Semoga bantuan yang disalurkan dapat memberi sinar harapan kepada saudara-saudara kita di Afghanistan dan menjadi bukti semangat kemanusiaan tidak mengenal sempadan.


“Saya merakamkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam kepada rakyat Afghanistan susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda beberapa wilayah di negara tersebut pada 31 Ogos 2025,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia sekali lagi berdiri bersama masyarakat antarabangsa dalam mendukung misi bantuan kemanusiaan ini.

Pada 31 Ogos lepas, gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter direkodkan di pegunungan Hindu Kush, kira-kira 27 kilometer barat daya bandar Asadabad di timur Afghanistan.

Malah, satu lagi gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter melanda pegunungan Hindu Kush pada 2 September lalu. – MalaysiaMADANI.