Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan tentera Israel yang meletakkan sasaran ke atas ibu negara Qatar, Doha, semalam, kata perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu merupakan pelanggaran serius kepada undang-undang antarabangsa dan pencabulan yang dibuat secara terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar.
“Serangan yang dilakukan secara melulu bukan sahaja membahayakan nyawa orang awam, menyerang di tengah-tengah ibu kota tetpi menjejaskan kestabilan rantau yang berdepan keadaan yang rapuh,” katanya.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha. Tindakan ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar dan pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Anwar pada masa sama menyifatkan serangan Israel yang menyasarkan Qatar iaitu sebuah negara menjadi pusat pengantaraan dan dialog di Asia Barat telah menunjukkan penghinaan terhadap keamanan dan diplomasi.
“Serangan sedemikian tidak dapat dipertahankan dan tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia kekal teguh dan solidariti penuh dengan Qatar serta menyeru masyarakat antarabangsa bekerjasama dalam menngesa Israel bertanggungjawab ke atas pencerobohan yang tidak berasas.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Doha digegarkan dengan beberapa letupan kuat lama selepas Israel mendedahkan kepada The Associated Press (AP) bahawa pihaknya menyasarkan pemimpin Hamas di Doha. – MalaysiaMADANI