Berita

Lebih 13 juta rakyat manfaat bantuan SARA

Lebih 13 juta rakyat Malaysia telah membuat penebusan bantuan ‘One Off’ Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membeli keperluan barangan asas setakat hujung minggu lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun ramai penerima sudah menggunakan sepenuhnya kredit RM100 yang disediakan, namun masih terdapat sebahagian lagi yang mempunyai baki untuk dibelanjakan.

“Jumlah itu merangkumi penebusan penuh dan sebahagian daripada bantuan RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad semua rakyat Malaysia.

“Kalau mereka masih ada baki, boleh gunakan lagi sehingga hujung tahun,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.

Agihan berkenaan bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Katanya peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa. – MalaysiaMADANI