Perbincangan strategik telah dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa melakukan tinjauan ke Villawood Immigration Detention Centre, Sydney, Australia bersempena 6th Sub-Regional Meeting on Counter Terrorism and Transnational Security (SRMTC).
Delegasi Malaysia ke SRMTC itu diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
“Ketibaan delegasi Malaysia telah disambut mesra oleh Inspector Hala Masri bersama pegawai kanan Australia, sebelum diberi taklimat mengenai operasi dan fungsi pusat tersebut,” kata KDN menerusi laman media sosialnya.
Tinjauan itu turut disertai pegawai kanan daripada kedua-dua negara, menjadikannya wadah penting untuk memperkukuh hubungan profesional serta meningkatkan kefahaman bersama dalam aspek pengurusan imigresen dan keselamatan.
“Melalui perkongsian ini, Malaysia berpeluang meneliti amalan terbaik yang boleh disesuaikan dalam konteks nasional.
“Ia sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam menghadapi isu migrasi tidak teratur, kawalan sempadan serta cabaran jenayah transnasional yang kian kompleks,” kata KDN. -MalaysiaMADANI