Berita

Kukuh persahabatan, tumpu kerjasama bidang berpotensi -PM

Malaysia dan Timor Leste mengadakan mesyuarat dua hala bertujuan memberi tumpuan terhadap bidang-bidang berpotensi yang boleh memberi pulangan serta manfaat bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bidang berpotensi yang boleh dilaksanakan bersama adalah dalam bidang pertahanan, kesihatan, komunikasi, pendidikan, budaya, pengecualian visa, pelaburan serta perdagangan.

Beliau berkata, pertemuan penting tersebut turut menyaksikan pertukaran pandangan mengenai hubungan dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama menerusi suasana mesra dan konstruktif.

“Hasil perbincangan ini turut kami kongsikan bersama media tempatan dan Malaysia, dengan harapan sinergi baharu dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu, Perdana Menteri menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden yang diserikan dengan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan statik sempena lawatan ke Timor Leste.

Mesyuarat dua hala itu diketuai masing-masing oleh Perdana Menteri dan rakan setugas, Presiden Timor Leste, Dr José Ramos-Horta. 

Perdana Menteri menegaskan, lawatan tersebut bukan sahaja memperkukuh persahabatan Malaysia-Timor Leste, malah membuka lembaran baharu kerjasama strategik yang dapat menyumbang kepada kestabilan, kemakmuran dan keamanan serantau. -MalaysiaMADANI