Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah sivil tertinggi Timor Leste, Grand Collar of the Order of Timor-Leste daripada Presiden, Dr José Ramos-Horta.
Anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan serta komitmen Perdana Menteri dan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala serta serantau.
“Saya berbesar hati menerima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia dan ia juga sebagai simbol persahabatan antara kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri menerusi media sosialnya.
Terdahulu dalam ucaptama siri Presidential Lecture, Perdana Menteri menekankan keperluan negara anggota memperkukuh kesepaduan dan keutamaan terhadap ASEAN bagi menghadapi persaingan geopolitik serta cabaran serantau yang kian kompleks.
Beliau berkata, sepanjang hampir enam dekad, ASEAN telah melalui pelbagai pasang surut, namun pengajaran yang diperoleh membuktikan kesepaduan dan kesepakatan tidak boleh dipandang ringan.
“Kesepaduan ASEAN mesti dipertahankan secara berterusan kerana perpecahan hanya akan melemahkan usaha bersama membina rantau yang aman dan makmur,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI