Berita

107 SJKT Kuala Lumpur terlibat kempen Internet Selamat anjuran MCMC


Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan multimedia Malaysia (MCMC) mendapat sambutan memberangsangkan apabila kira-kira  107 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil bahagian dalam kempen berkenaan .

MCMC dalam kenyataan memaklumkan Karnival Kempen Internet Selamat itu merupakan pendekatan strategik agensi itu dalam usaha memberi kesedaran danmemastikan tiada generasi muda khusunya pelajar sekolah menjadi mangsa dalam dunia digital.

“Karnival Kempen Internet Selamat itu juga bermatlamat memberi kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan untuk melindungi diri dalam talian, pemahaman terhadap risiko di alam siber serta galakan membudayakan penggunaan Internet yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pengisian kempen ini pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan antaranya persembahan Koir KIS terdiri daripada pelajar sekolah terlibat.

Selain itu, persembahan kebudayaan bersempena dengan Hari Malaysia serta pameran di reruai daripada rakan strategik MCMC seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI); Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor.,” katanya.

Malah, bagi mengukuhkan pemahaman peserta, pelbagai permainan interaktif juga disediakan sepanjang karnival ini berlangsung yang berteraskan digital dan keselamatan siber.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching telah hadir dan beramah mesra dengan peserta Karnival Internet Selamat itu yang turut dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Guru Besar Tamil Malaysia.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, seramai 214 Ikon Kapten Keselamatan Dalam Talian (Kapten K-DAT) daripada sekolah-sekolah terlibat turut dilantik pada karnival tersebut.

Katanya, Kapten K-DAT akan berperanan sebagai duta di sekolah masing-masing untuk meneruskan penyampaian mesej keselamatan siber dan amalan penggunaan internet yang selamat.

“Sehingga 1 September yang lalu, sebanyak 1,928 sekolah telah mengikuti modul KIS di seluruh negara dengan 144 buah sekolah adalah dari Selangor dan 76 dari Kuala Lumpur.“Daripada jumlah tersebut, 11 buah sekolah melibatkan SJKT dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC),” katanya. – MalaysiaMADANI