Thailand dan Jepun dijadikan rujukan utama Kementerian Pertanian dan keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menjalankan penyelidikan dan Pembangunan (R&D) buah-buahan bermusim bagi tujuan pengeluaran sepanjang tahun.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ketika melancarkan Kempen ‘Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-sayuran Tempatan’ sempena FAMA Fest 2025 @ Selangor.
Katanya, usaha berkenaan telah dilakukan Jabatan Pertanian (DOA) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejajar dengan objektif kempen.
“Kita sentiasa lakukan R&D terutama oleh pihak DOA dan MARDI untuk mengeluarkan benih baharu dan sebagainya. Misalnya, durian MARDI yang dikeluarkan baru-baru ini di Kuala Kangsar, sedap dan bermutu tinggi,” katanya.
Beliau menambah KPKM serius dalam usaha memartabatkan kembali buah-buahan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Malah, kerajaan MADANI juga telah memutuskan majlis rasmi kerajaan perlu dihidangkan dengan buah-buahan tempatan sebagai simbol sokongan terhadap pengeluaran petani tempatan serta memartabatkan produk sendiri.
Sempena FAMA Fest, pihaknya menyasarkan nilai jualan lebih RM5.5 juta dengan 260,000 pengunjung.
“Di Selangor sahaja, lebih 50 usahawan terlibat dengan sasaran jualan RM1.2 juta. Ini bukan angka kecil, ini tanda bahawa sektor agromakanan ada masa depan yang cerah,” katanya lagi.
FAMA Fest 2025 yang merupakan acara tahunan KPKM bukan sekadar pesta jualan, tetapi merupakan sebuah platform penting dalam membina ekosistem agromakanan negara yang mampan, berdaya saing dan berorientasikan rakyat.
Melalui penganjuran program tersebut, KPKM dapat memperkukuh rantaian bekalan makanan serta memberi peluang besar kepada usahawan tani tempatan untuk berkembang maju. – MalaysiaMADANI