Berita

Solidariti global penting tangani krisis yang semakin meruncing di Gaza

Solidariti global dan nekad moral yang kental amat diperlukan di saat krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza, tegas Perdana Menteri.

Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan perbincangan mengenai hal itu secara maya dengan Ahli Parlimen dan tokoh politik British terkenal Jeremy Corbyn..

“Saya telah berbincang menerusi panggilan video dengan Ahli Parlimen dan tokoh politik British Jeremy Corbyn, menyentuh mengenai langkah kerjasama dalam kalangan negara-negara yang sehaluan.

“Ia termasuk Kumpulan Hague untuk memberi lebih tekanan terhadap Israel supaya menghentikan segera genosid yang sedang berlaku di Gaza,” katanya.

Pada perbincangan berkenaan kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, mempertahankan hak asasi manusia, serta memperjuangkan keamanan yang adil dan berkekalan.

Setakat ini  peperangan di Palestin telah mengorbankan kira-kira 189,000 rakyat Palestin majoritinya kanak-kanak dan wanita.

Data juga menunjukkan bahawa perang mengakibatkan kira-kira 2 juta orang di Gaza kehilangan tempat tinggal, memaksa mereka berlindung di pusat-pusat perlindungan, yang kebanyakannya tidak sesuai untuk didiami.

Lebih 183 pusat perlindungan disasarkan semasa serangan udara Israel, dan 100,000 khemah yang digunakan oleh pelarian kini tidak lagi dapat digunakan.- MalaysiaMADANI