Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jam 12 tengah hari ini di Dewan Rakyat.
Menerusi kenyataan di Facebook beliau berkata, RMK13 akan membawa natijah terbaik kepada rakyat serta meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.
Ayuh kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta kemanusiaan agar kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi.
Sebelum ini, Anwar yang juga menteri kewangan itu memaklumkan telah menerima penyerahan rasmi dokumen RMK13, menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Katanya, RMK13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa mana-mana kumpulan yang dipinggirkan
“Penyediaannya membabitkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pemegang taruh merentasi sektor, latar belakang dan wilayah termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.
“Insya-Allah, saya akan membentangkan usul RMK-13 di Dewan Rakyat esok (hari ini). Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan,” katanya. – MalaysiaMADANI