Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas pesawat Antonov AN-24 yang terhempas di Wilayah Amur, Russia, semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di media sosial miliknya menzahirkan rasa amat dukacita apabila menerima perkhabaran mengenai insiden pesawat terhempas di wilayah timur jauh negara itu.
“Doa dan ingatan saya bersama keluarga yang kehilangan orang tersayang. Dalam saat-saat sukar seperti ini, kita diingatkan betapa rapuhnya kehidupan serta betapa kita saling terkait merentasi jarak dan sempadan.
“Ia juga mengingatkan kita bahawa nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama jauh lebih penting daripada geopolitik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau pada masa sama turut menyatakan bahawa Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Russia dan berdiri dalam solidariti bersama mereka yang sedang berkabung.
Pesawat berkenaan membawa 46 penumpang termasuk dua kanak-kanak dan enam kru dilaporkan terbakar semasa fasa penurunan untuk mendarat dan dimaklumkan tiada mangsa yang terselamat dalam tinjauan udara di lokasi nahas – MalaysiaMADANI