Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Kuala Lumpur.
Kunjungan hormat itu dilakukan sebaik sahaja beliau tiba di tanahair pada awal pagi ini, selepas mengadakan lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil.
Perdana Menteri menghadiri AMM ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Beliau turut menyempurnakan perasmian AMM ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
“Sebelum bermulanya upacara perasmian, saya telah menerima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
“Dalam pertemuan ini, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap komitmen berterusan semua pemimpin dalam memastikan segala isu dan cabaran serantau terus dibincangkan secara terbuka dan kolektif,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Perdana Menteri menegaskan, mesyuarat kali ini amat penting dalam merangka masa depan rantau ini, terutama ketika dunia berdepan dengan cabaran geopolitik, perubahan iklim serta ketidaktentuan ekonomi global.
Jelas beliau, Malaysia percaya bahawa perpaduan dan persefahaman antara negara-negara anggota ASEAN adalah kunci kepada kestabilan, kemakmuran dan daya saing serantau.
“Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk mengangkat suara ASEAN di pentas global serta memacu agenda keterangkuman dan kemampanan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat rantau ini,” kata beliau. -MalaysiaMADANI