Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin memaklumkan bahawa satu pengumuman berkaitan penghargaan luar biasa kepada rakyat akan dibuat sama ada Selasa atau Rabu.
Berita baik itu dinyatakan semasa perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.
Perdana Menteri berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk membuat penelitian lanjut susulan pemukiman Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.
Beliau berkata, dia kini sedang mempertimbangkan perubahan dan pengumuman yang perlu dibuat bagi meredakan tuntutan rakyat.
“Saya sudah nyatakan, dalam sehari dua ini saya perlu membuat pengumuman sama ada dalam bentuk langkah tambahan atau sebagainya. Tetapi ia memerlukan sedikit masa untuk diteliti dengan sebaiknya,” kata beliau.
Pada minggu lalu, Perdana Menteri menerusi satu hantaran di laman sosialnya memaklumkan bahawa satu pengumuman besar akan dilakukan oleh beliau dalam masa terdekat.
Pengumuman itu disifatkan sebagai suatu penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.
Sementara itu, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan buat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang berjaya mengatur pertemuan bermakna antara ulama serta pimpinan negara bagi memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan dasar MADANI.
Beliau tegaskan, peranan penting institusi pengajian tradisional seperti pondok dan maahad tahfiz dalam mempertahankan akidah umat.
Jelas beliau, institusi tersebut perlu lebih dinamik dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Dalam aspek ekonomi, kata beliau, kerajaan MADANI mencatat pencapaian yang sangat positif apabila lebih 3,400 projek pelaburan diluluskan.
Selain itu menurut beliau, lebih 86 peratus daripadanya telah dijalankan dan sedang direalisasikan serta mula beroperasi, sekali gus mencipta ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat. -MalaysiaMADANI