Kerajaan bersetuju memberi kemudahan kepada pihak industri sepanjang tempoh peralihan perubahan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan maklum balas kesukaran mematuhi semua keperluan operasi.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan memberi kelonggaran kepada pembekal perkhidmatan untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.
“Bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh itu.
“Kerajaan MADANI memahami pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai,” kata MOF.
Dalam pada itu, MOF menyatakan, pengilang yang berdaftar diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) bermula 1 Julai 2025 dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah digunakan dalam pengilangan barang bercukai.
Selain itu katanya, syarikat yang menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebelum 1 Julai akan terus menikmati pengecualian itu. Namun begitu, ia masih tertakluk kepada tempoh dan syarat ditetapkan.
“Namun, sekiranya syarikat berkenaan mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai dan mencapai nilai ambang ditetapkan, mereka diwajibkan berdaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST di mysst.customs.gov.my.
“MOF berharap kemudahan ini akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terbabit dalam peluasan skop SST,” katanya.
Orang awam dan peniaga yang mahu mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi hotline Pusat Panggilan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1-300-888-500. -MalaysiaMADANI