Berita

Malaysia MADANI terus lawan, perangi rasuah

Tekad kerajaan memerangi perbuatan rasuah tidak pernah akan berakhir demi memastikan pembangunan negara yang lebih mampan dan mensejahterakan hidup rakyat secara menyeluruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan menentang amalan rasuah adalah mutlak dan ia penting untuk memulihkan integriti, melindungi kepentingan awam serta membina semula kepercayaan rakyat. 

Tegas beliau, Malaysia komited kepada pertumbuhan inklusif serta lestari yang dipacu oleh tadbir urus baik dan ekonomi dinamik untuk semua.

“Malaysia juga komited untuk mencapai tahap integriti yang lebih tinggi, menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 melalui Strategi Anti-Rasuah Nasional,” kata beliau menerusi satu hantaran di media sosial. 

Terdahulu Perdana Menteri menghadiri Persidangan Antarabangsa Malaysia mengenai Tadbir Urus dan Integriti 2025 di Putrajaya.

Hadir sama di majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perdana Menteri berkata, sebagai Presiden Perhimpunan International Anti-Corruption Academy (IACA) buat kali pertama, Malaysia tekad untuk memimpin dengan teladan dalam memperkukuh tadbir urus dan usaha antirasuah di peringkat global.

Menurut beliau, perjuangan menentang rasuah bukan suatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan golongan elit berkuasa.

Namun begitu kata beliau, ia adalah tanggungjawab bersama yang menuntut keberanian, kesatuan, pendirian tegas demi keadilan dan ketelusan. -MalaysiaMADANI