Berita

Malaysia komited pacu kejayaan, kesejahteraan ASEAN -PM

ASEAN diingatkan untuk terus berdiri kukuh serta saling bekerjasama bagi memastikan kesejahteraan serantau yang terjamin dan menjadi pilihan destinasi perdagangan dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara utama itu harus dipertahankan, meskipun dunia kini dirundung ketegangan kuasa besar, perlumbaan geo-ekonomi yang melelahkan dan keruntuhan multilateralisme. 

Dalam lanskap sebegini, tegas beliau, ASEAN tidak boleh berada dalam keadaan lemah, berpecah dan jauh sekali ketinggalan di belakang. 

“Kita mesti bersatu, perkukuh peranan ASEAN dan memastikan suara rantau ini terus dihormati. 

“Saya sebut Malaysia komited memacu pelaksanaan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), mempercepat ASEAN Power Grid dan memuktamadkan ASEAN Digital Economy Framework Agreement bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini,” kata beliau menerusi medial sosialnya.

Perdana Menteri tampil untuk julung kalinya di Gedung Sekretariat ASEAN yang berpusat di Jakarta, Indonesia sempena peranan penting Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025. 

Beliau menegaskan, ASEAN akan terus bersuara, menjamin kerukunan dan memimpin dengan ketegasan, malah tidak sekadar mengikut susun atur order global. 

Kata beliau, ASEAN tahu ke mana arah yang dituju dan Malaysia akan pastikan ASEAN akan lebih tegap, melangkah sederap demi kestabilan, kemakmuran serta keamanan sejagat. -MalaysiaMADANI