Berita

KKM terus perkukuh reformasi digital, 156 Klinik Kesihatan kini dilengkapi CCMS – Dr Dzulkefly

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus giat melaksanakan reformasi sistem kesihatan negara berasaskan digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kemudahan kepada pesakit, kata Menteri Kesihatan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan, antara pencapaian utama ialah sebanyak 156 Klinik Kesihatan telah dilengkapi dengan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS), dengan 70 peratus pesakit kini dilayan dalam tempoh kurang 30 minit.

“Di bawah pelaksanaan reformasi digital itu juga, fasa pertama sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) berjaya disiapkan, melibatkan lima juta preskripsi, 20 juta rekod vaksinasi dan satu juta rekod pergigian.

“MySejahtera pula kini telah berkembang menjadi gerbang kesihatan pencegahan dan gerbang digital nasional,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Jitu Asia 2025 yang menghimpunkan lebih 500 delegasi dari seluruh rantau, lapan pempamer teknologi dan pemimpin-pemimpin kesihatan serantau yang berkongsi aspirasi membina sistem kesihatan berasaskan data, bersifat peribadi dan berpusatkan rakyat.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pihaknya sangat berbesar hati untuk mengumumkan KKM dan Google kini sedang meneroka kerjasama strategik untuk menggunakan AI bagi menangani cabaran kesihatan utama negara.

Kerjasama berkenaan katanya merupakan langkah besar ke arah menjadikan Malaysia peneraju kesihatan digital berasaskan AI di rantau ini.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memacu kerjasama serantau dalam tadbir urus data kesihatan, penggunaan AI yang beretika dan pembinaan kapasiti digital rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaMADANI