Gergasi semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies (Infineon) melakukan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion bagi pembinaan kilang di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab yang terbesar di dunia itu merealisasikan pengumuman yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelaburan tersebut semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Jerman, susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Infineon di negara tersebut.
“Kini, potensi itu telah menjadi realiti. Fasa pertama kilang ini bukan sahaja sudah siap, malah telah mula beroperasi,” kata Tengku Zafrul menerusi media sosialnya pada Isnin.
Berita baik itu turut dikongsikan oleh Pedana Menteri dalam media sosialnya.
Tengku Zafrul berkata, pelancaran kilang itu telah dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, kehadiran Muhammad Sanusi membuktikan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan kerajaan pusat dalam menarik pelaburan tambahan ke Kedah.
Kata beliau, pelaburan mega itu bukan sahaja melonjakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran semikonduktor global, malah ia juga mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat tempatan.
Jelas beliau, ia merupakan komitmen pelaburan yang sangat signifikan dan bukti keyakinan Infineon terhadap Malaysia.
Tambahnya, komitmen Infineon untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga terserlah melalui Program Pembangunan Vendor Tempatan yang dilancarkan pada 15 Januari lalu, sekali gus menyokong 139 syarikat tempatan.
“Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia yang menerima manfaat? Masih lagi nak tuduh potensi pelaburan oleh YAB PM (Perdana Menteri) cuma pengumuman kosong? Dari potensi, kita jadikan realiti,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI