Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius kejadian kesesakan di pintu masuk utama negara, baru-baru ini.
Sehubungan itu, pihak kementerian komited melaksanakan reformasi perkhidmatan sempadan dengan memastikan segala urusan dijalankan dengan cekap, tangkas serta responsif.
Selaras aspirasi Reformasi MADANI, KDN melakukan pascanilai menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar, selain merangka penyelesaian jangka pendek dan panjang serta memastikan koordinasi mantap antara semua pihak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebelum sesi pagi sidang Dewan Rakyat bermula, dia telah menerima taklimat daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pasukan NIISe, Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) dan penyedia perkhidmatan berkaitan berhubung kesesakan yang berlaku di pintu-pintu masuk utama negara pada hujung minggu lepas.
Beliau berkata, fokus pihak kementerian adalah jelas iaitu melaksanakan ‘post-mortem’ menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar insiden, seterusnya merangka penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang bersifat mampan, selain memastikan koordinasi mantap antara semua agensi dan vendor terlibat.
“Kita tidak mahu sekadar menampung masalah, tetapi menyelesaikannya hingga ke akar demi memastikan perkara ini tidak berulang.
“Kita tidak mahu insiden sebegini berulang. Apa pun sistem yang digunakan mesti berfungsi dengan cekap, pantas dan tidak menyusahkan rakyat,” katanya menerusi media sosial miliknya pada Selasa.
Kata beliau, Reformasi MADANI menuntut perkhidmatan yang berintegriti dan responsif.
Untuk itu menurut beliau, pihaknya akan memastikan KDN kekal proaktif dan bertanggungjawab dalam perkara tersebut.
Tegasnya, sistem sempadan seharusnya berfungsi secara efisien, telus serta tidak membebankan rakyat kerana ia cerminan nilai keyakinan, ihsan dan kesejahteraan dalam Malaysia MADANI.
KDN akan terus memacu pembaharuan ke arah sistem kawalan sempadan yang lebih moden dan profesional, demi keselamatan dan kesejahteraan negara. -MalaysiaMADANI