Warga kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan untuk terus membudayakan integriti tinggi dan keadilan ketika mana melaksanakan tugas kepada masyarakat.
Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mahukan penjawat awam di kementerian terbabit menitik berat dua perkara penting tersebut dalam tadbir urus negara.
Beliau menggariskan keperluan untuk memastikan setiap pemimpin dan penjawat awam memiliki kompetensi, kecekapan serta amanah ketika menjalankan tanggungjawab.
“Kaedah pendekatan syura serta musyawarah memainkan peranan penting bagi membuat keputusan yang adil dan berkesan,” beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan KDN bagi bulan Julai 2025.
Hadir sama Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
Sementara itu, Awang Alik menekankan keperluan bagi seluruh warga KDN mengadaptasi perubahan dan beralih daripada pendekatan kerja konvensional kepada penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).
Dalam dunia yang pantas berubah, kata beliau, penjawat awam perlu kekal relevan melalui peningkatan kemahiran dan pembelajaran berterusan demi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap serta responsif.
Perhimpunan itu turut memberikan penekanan kepada isu keselamatan sempadan, jenayah seksual melibatkan kanak-kanak serta ancaman dadah.
Berhubung perkara tersebut, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh kawalan keselamatan termasuk melalui pengukuhan Pusat Respons Keselamatan Negara (NSRC) yang kini diterajui oleh PDRM dengan pengoperasian 24 jam.
Pendekatan berasaskan teknologi seperti penggunaan AI juga akan diperkasakan, selaras dengan komitmen tinggi KDN membanteras jenayah yang semakin kompleks. -MalaysiaMADANI