Berita

Kecam serangan Israel ke atas Damsyik, Malaysia teguh bersama rakyat Syria 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi mengecam serangan udara terbaru oleh Israel ke atas Damsyik pada Rabu.

Beliau berkata, tindakan ketenteraan itu sekali lagi telah mencabuli kedaulatan Syria dan mengorbankan nyawa orang awam yang tidak berdosa. 

Tegas beliau, serangan itu merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.

“Syria telah menanggung penderitaan yang amat dahsyat sepanjang dekad lalu. Rakyatnya berhak menikmati keamanan, bukan keganasan berterusan atau campur tangan kuasa luar,” kata Perdana Menteri menerusi laman sosialnya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menyeru agar pencabulan seperti ini dihentikan serta-merta, di samping memperbaharui komitmen terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan dan keluhuran undang-undang. 

Media melaporkan, Israel bertindak memperluaskan lagi kempen ketenteraan mereka di Asia Barat dengan mengebom ibu pejabat tentera di ibu kota Syria pada Rabu.

Tindakan pencerobohan itu dilancarkan sehari selepas pasukan tentera mara ke bandar Sweida yang didiami puak Druze untuk mengawasi pelaksanaan gencatan senjata yang dipersetujui bersama puak Bedouin.

Rejim Zionis mengambil peluang untuk campur tangan dalam konflik dalaman di Damsyik kononnya untuk melindungi komuniti Druze. -MalaysiaMADANI